PROGRAM OUTREACH VAKSIN DAERAH HULU TERENGGANU Print
Written by pdht   
Sunday, 04 July 2021 03:19

Pejabat Daerah Hulu Terengganu selaku urusetia Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Hulu Terengganu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah, KETENGAH dan seluruh agensi-agensi utama yang terlibat telah mengadakan Program Outreach Vaksinasi Peringkat Daerah Hulu Terengganu kali yang pertama bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Landas, Ajil.

Sebanyak 1000 dos vaksin telah dibekalkan untuk disuntik kepada komuniti Hulu Terengganu bermula seawal jam 8 pagi dengan sambutan yang cukup menggalakkan oleh warga Hulu Terengganu bagi mencapai misi imuniti berkelompok sebanyak 80 peratus.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Ahmad Azizi bin Zulkifli selaku Ketua CITF Daerah Hulu Terengganu turut sama hadir mengiringi YB Dato' Rosol bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu bagi menyantuni petugas kesihatan dan penerima vaksin yang hadir. Program ini turut dihadiri oleh YB Ustaz Haji Maliaman bin Kassim, ADUN kawasan Ajil. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Binti Yunos dan Pengerusi KETENGAH, YB Senator Datuk Razali bin Idris juga turut sama-sama hadir bagi melihat sendiri proses vaksinasi bagi program outreach yang telah dijalankan. Jutaan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua petugas dan penduduk yang terlibat serta urusetia & agensi-agensi yang telah membantu menjayakan program outreach ini.

Last Updated on Sunday, 04 July 2021 03:31